|

Muhd Hisham:
(Murokkab)

Secara ringkasnya ayat lengkap dibentuk daripada susunan ungkapan-ungkapan dan perkataan-perkataan(Murokkab Isnaadiy)


Ayat yang lengkap (atau ungkapan yang lengkap) terdiri daripada sekurang-kurangnya gabungan dua perkataan yang memenuhi kreteria subjek dan predikat(Murokkab Isnaadiy)

Contoh ayat lengkap paling ringkas ialah : Al-Quranu kitabun. Yang bermakna : 'Al-Quran ialah sebuah kitab' atau 'Al-Quran is a book'.

Di dalam ilmu nahu, terdapat beberapa jenis ungkapan yang struktur dan i'rabnya mesti kita ketahui supaya kita faham makna yang dimaksudkan olehnya di dalam sesuatu ayat .

Namun gabungan sebarang dua perkataan sahaja tidak semestinya menjadi ayat yang lengkap. Gabungan dua perkataan yang tidak menjadi ayat lengkap ini dipanggil ungkapan tidak lengkap (murokkab naqis). Ungkapan yang tidak lengkap ini pula akan disusun atau digabung bersama ungkapan lain dan mungkin juga disertai dengan katakerja dan katatugas supaya menjadi ayat yang lengkap dan mudah difahami dengan tepat. Berikut adalah Murokkab Naqis :

1) Ungkapan bersifat (murokkab tausifi / mausuf wa sifah / man'ut wa na'at)

2) Ungkapan pemilikan (murokkab idhofi / al-idhofah / mudhof wa mudhofun ilaih)

3) Ungkapan berkatasendi / berhuruf jarr (murokkab jarri / shibhul jumlah /jarr wa majrur)

4) Ungkapan penunjuk (murokkab ishari)


(Murokkab Tausifi)

Ungkapan Bersifat ialah frasa di mana perkataan kedua menerangkan tentang kualiti atau sifat kepada perkataan pertama.

Dalam bahasa melayu contohnya :

Rumah besar.
Kereta baru.
Bunga cantik.

Besar, baru dan cantik adalah katasifat (adjective) yang menerangkan tentang rumah, kereta dan bunga di dalam contoh di atas.

Di dalam istilah bahasa arab, perkataan pertama dinamakan ismulzat atau mausuf dan perkataan kedua dinamakan ismussifah atau sifah.

Oleh itu, murokkab tausifi juga selalu dipanggil mausuf wa sifah (Yang disifatkan dan sifatnya).

PENTING : Empat ciri utama isim sifah yang perlu diambil perhatian. Iaitu sifah akan mengikut mausuf pada :

1. Nakirah atau Makrifah.

Jika mausuf itu nakirah, sifah juga mestilah nakirah. Jika mausuf itu makrifah maka sifah juga mestilah makrifah.

(Jika anda kurang pasti apa itu nakirah dan makrifah sila kembali ke siri ketiga dan ikut link yang diberi)

2. Maskulin dan Feminin.

Jika mausuf maskulin, sifah juga mesti maskulin. Begitulah juga jika mausuf feminin, sifah mestilah feminin.

(Melainkan jika mausuf adalah plural tidak berakal, maka sifahnya adalah feminin singular)

3. I'rab (marfu', mansub atau majrur)

Sifah akan mengikut i'rabnya mausuf. Contohnya jika mausuf itu majrur maka sifah juga mestilah majrur.

4. Bilangan (singular, dual atau plural)

Sifat mesti mengikut bilangan mausuf. Contohnya jika mausuf itu plural (jamak) maka sifah juga mestilah jamak.

(Lihat contoh-contoh ungkapan bersifat yang dipetik dari Al-Quran pada ruangan komen).

PERHATIAN :

1. Jika mausuf adalah katanama PLURAL yang tidak berakal (seperti benda dan haiwan) maka sifahnya adalah feminin SINGULAR.

2. Mausuf boleh mempunyai lebih daripada satu sifat berturutan selepasnya.

-------------------------

(Murokkab Idhofi)

Ungkapan Idhofi ialah frasa di mana katanama pertama disandarkan kepada katanama kedua untuk menjadikannya khusus (makrifah).

Ia disebut sebagai Ungkapan Pemilikan yang bermakna katanama pertama dimiliki atau disandarkan atau dinisbahkan kepada katanama kedua.

Contoh:

كِتَابُ  اللَّهِ

(kitabullahi)

Katanama pertama ( كِتَابُ ) dipanggil mudhof (Yang Dimiliki/Yang Disandarkan)

Katanama kedua ( اللَّهِ ) dipanggil mudhofun ilahi (Pemilik/Penyandar)

Adapun ciri-ciri asas bagi MUDHOF ialah :

1) Tanwin padanya digugurkan

2) Ia tidak boleh beraliflam dipangkalnya (tidak boleh makrifah)

3) Jika ianya dual (muthanna) atau jama' muzakkar salim, maka huruf nun pada hujungnya digugurkan

4) Mudhof boleh dalam apa-apa keadaan i'rab (yakni ianya boleh sebagai marfu', mansub ataupun majrur)

Adapun ciri-ciri asas bagi MUDHOFUN ILAIH ialah :

1) Ia mesti MAJRUR  <---penting

2) Ia boleh dalam keadaan nakirah ataupun makrifah (contoh

: boleh beraliflam ataupun tidak beraliflam .

Ungkapan Pemilikan (atau juga disebut dengan nama Murokkab Idofi atau Al-Idhofah). Jika anda merujuk buku Nahu Arab di dalam Bahasa Inggeris, maka istilahnya biasa di sebut sebagai 'The Relative Phrase' atau 'The Idafa Phrase' atau 'The Genitive of Possession'.

Perlu diingatkan juga bahawa semua katanama yang bersambung dengan gantimana (dhomir muttasil) adalah termasuk juga dalam kategori Ungkapan Pemilikan (Murokkab Idhofi).

Gantinama bersambung itu walaupun tidak berubah barisnya, ia adalah dlm keadaan jarr sebagai mudhofun ilaih.

 Contohya :

كِتَابُهُ
(bukunya)

أَعْمَالُهُمْ
(amalan mereka)


Di dalam satu Ungkapan Pemilikan boleh terdapat lebih dari satu Mudhof dan Mudhofun Ilaih.
Contohnya :

مَـٰلِكِ يَوْمِ ٱلدِّينِ

'Maliki' ialah mudhof, 'Yaumi' adalah mudhofun ilaih.
'Yaumi' juga adalah mudhof, di mana 'Addin' menjadi mudhofun ilaih.

Di situ perkataan 'Yaumi' memainkankan dua peranan serentak. Ia mesti menepati kedua-dua syarat mudhof dan juga syarat mudhofun ilaih. Yakni :

Syarat mudhof :
1. Ia tidak boleh bertanwin
2. Ia tidak boleh beraliflam.

Syarat mudofun ilaih :
1. Ia mesti majrur (eg. hujung berbaris di bawah)

Mudhofun ilaih datang selepas mudhof. Mudhof dahulu, barulah mudhofun ilaih. Sama sekali tidak boleh bertukar tempat. Contoh :

بَابُ المَسْجِدِ

(pintu masjid itu / the door of the masjid)

babu = mudhof
al-masjidi = mudhofun ilaih

Satu lagi peraturan yang penting untuk diketahui ialah : TIDAK boleh ada suatu pun perkataan  berada di antara keduanya. Yakni, mudhof dan mudhofun ilaih mestilah duduk sebelah-menyebelah, tidak boleh terpisah oleh apa-apa perkataan lain.

Bagaimanakah pula kita nak katakan jika perkataan-perkataan mudhof atau mudhofun ilaih atau kedua-duanya mempunyai sifah padanya? Oleh kerana tidak boleh ada sebarang perkataan di antara mudhof dan mudhofun ilaih, maka sifah kepada mudhof hendaknya disebut selepas mudhofun ilaih.

Jika mudhofun ilaih juga mempunyai sifah, maka sifah kepada mudhof hendaklah disebut selepas sifah kepada mudofun ilaih :

1)كتابُ الولدِ الصغيرُ
Buku budak yang kecil(Buku yang kecil : kerana baris dommoh pada kalimah sifat الصغيرُ mengikuti baris dommoh pada kalimah كتابُ yang disifatkan).Taqdirnya :

الكتابُ الصغيرُ للولدِ

2)كتابُ الولدِ الصغيرِ
Buku budak yang kecil(Budak yg kecil : kerana baris kasrah pada kalimah sifat الصغيرِ mengikuti baris kasrah pada kalimah الولدِ yg disifatkan)Taqdirnya :

الكتابُ للولدِ الصغيرِ


PERHATIAN : Di dalam sesuatu ayat ungkapan-ungkapan ini boleh bergabung dan boleh berangkai antara satu sama lain, maka jika kita tidak dapat membezakannya kemungkinan kita akan tersalah tafsir makna keseluruhan ayat walaupun kita tahu makna setiap perkataan di dalam ayat tersebut.

-------------------------

(Murokkab Isyari)

Tentu ramai familiar dengan 'hadza', 'hadzihi' dan sebagainya mengenai isim isyarah (katanama penunjuk) kerana di dalam kebanyakan pelajaran bahasa Arab, inilah yang pertama-tama diajarkan.
Misalnya :

هَـٰذَا كِتَابٌ

Hadza kitabun.
Ini sebuah buku.
This is a book.

Perlu ditegaskan bahawa contoh di atas itu adalah suatu ayat lengkap, yang mengandungi subjek dan predikat.

'Hadza' (ini) = subjek. 'Kitaabun' (sebuah buku) = predikat.

Apa yang kita hendak pelajari pada siri ini ialah berkenaan Murokkab Isyari (Ungkapan Penunjuk). Murokkab Isyari bukanlah ayat lengkap. Ia hanyalah frasa ataupun ungkapan.

Ciri-ciri murokkab isyari ialah seperti berikut :

1. Ia adalah gabungan dua bahagian - Pertama ialah 'Isim Isyarah' .

2. Bahagian kedua dinamakan 'Musyar Ilaih' (Katanama yang ditunjuki)

3. 'Musyar Ilaih' mestilah ber'aliflam', ataupun ianya idhofah (mudhof & mudhofun ilaih) contoh :

هذا الكتابُ كبيرٌ

4. Jika 'Musyar Ilaih' adalah idhofah, maka Isim Isyarah hendaklah berada selepas mudhofun ilaih contoh :

كتابي هذا

5. Isim Isyarah dan 'Musyar Ilaih' mestilah menepati antara keduanya dari segi bilangan, jantina, pengkhususan dan i'rob.


-------------------------

(Murokkab Jaariy)

Adalah ungkapan yang terdiri daripada kata sendi disusuli

dengan kata nama diselepasnya . Contoh :

في الفصلِ/ من الرياضِ / على مكتبٍ / بمكةَ

Ciri-ciri murokkab jaariy ialah seperti berikut :

1. Ia adalah gabungan dua bahagian - Pertama ialah 'Jar'(Huruf Jarr)

2. Bahagian kedua dinamakan 'Isim Majrur' (Katanama majrur)

Murokkab Jaariy bukanlah ayat lengkap. Ia hanyalah frasa ataupun ungkapan.
Ungkapan ini juga dinamakan 'Syibhu Jumlah '.

Hukum bagi kata nama yang berada selepas kata sendi huruf jarr adalah MAJRUR .

Apabila isim mufrad bertanwin datang selepas huruf jarr maka baris dihujungnya menjadi kasrah.

Contoh :  فِي  الْكِتَابِ

Tetapi apabila isim mufrad tidak bertanwin datang selepas huruf jarr maka baris dihujungnya menjadi Fathah namun hukumya tetap majrur.

Contoh :  بِمصابيحَ / من مكّةَ

#بالعربية #نرتقي

0 comments:

Post a Comment

 

©2009 "Mendidik hamba membangun khalifah" | Template Blue by TNB